BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, August 9, 2009

..::Coretanku::..


"Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa..."

Kadang-kala kita tidak pernah menyedari apa yang sebenarnya berlaku di sekeliling kita, walaupun kita menyedarinya, mungkinkah kita memahami apa yang tersurat bahkan yang tersirat yang terkandung didalam setiap apa yang berlaku. Tapi, sesungguhnya kalam Allah s.w.t. itu benar pada kalimah janjinya, ada hikmah disebalik kejadian yang direncanakannya. Mungkin kita sebagai manusia masih tercari-cari apa yang dimaksudkan dengan hikmah itu, mungkin ia dihadirkan didunia ataupun sebagai bekalan pahala diakhirat kelak. Tidak kira apa cara sekalipun, sesungguhnya kita sebagai hambaNya hendaklah menetapkan iman dilandasan yang diredhaiNya.

Dari abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka apabila ia menyaksikan suatu peristiwa, hendaklah dia menanggapinya dengan baik atau diam"

Dalam situasi aku sekarang, dapatkah aku bangun kembali seperti dulu, terlalu banyak dugaan Allah s.w.t. yang datang bertimpa-timpa, mengatasi segala kekuatan yang ada dalam diri aku, mengatasi norma nuansa kecekalan aku, berat sungguh dugaan yang harus ditempuhi saat ini. Terfikir sejenak apa yang sedang berlaku ini mungkin salah aku yang lalu dan mungkin juga dugaan Allah s.w.t. untuk hambanya bagi menguji keimanan aku kepada Maha Pencipta, aku bersyukur kehadrat ilahi sekiranya ini merupakan balasan dosa-dosa aku yang lalu. Ini menunjukkan bahawasanya Allah masih bersama hambanya yang sentiasa leka seperti aku, tidak mahu aku terus hanyut ditelan khayalan dunia. Yang aku harapkan adalah ketenangan menempuhi semua ini. Aku ingin berfikiran positif diatas apa yang terjadi, mengharapkan cahaya aqidah menetapkan laluan aku dijalan nur syurgaNya.

"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Saat ini aku tidak pasti apakah rencana ilahi untuk aku, apakah kesedihan ini merupakan ketenangan untuk aku, serta menjadi lorong untuk aku mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Yang pasti sekarang, aku lebih selesa berdiam diri dari berpura-pura tenang di khalayak, menjauhkan diri dari segala-gala yang fana, aku biarkan waktu yang meleraikan segala-gala. Siapa dapat menduga, dibalik senyuman ini, tersimpul 1001 kedukaan yang tidak seorang pun memahami apatah lagi cuba menyelaminya. Setelah aku dapat kembali ketenangan jiwa ini, dan kekuatan semangat, akan aku bangun menghadap jalan hakikat. Insyallah. Kalau dulu aku sering mengharapkan semangat dari orang lain, sampaikan aku xmampu untuk bangun sendiri sekiranya tidak ada orang disisi yang meniupkan semangat untuk aku. Tapi, sekarang segalanya telah berubah, tidak ada lagi insan tersayang berdiri disisi aku dikala aku berduka, yang sanggup bersedih bersama-sama aku, bersama-sama aku dalam gelak tawa, indahkan hari-hari aku dengan senyuman manisnya. Saat ini baru aku sedar, begitu sukar sekali bagi aku bertatih kembali untuk terus berjalan. Sepatutnya aku menghargai semua anugerah ilahi sebelum ini, kerana kelalaian aku segalanya tiada lagi, hilang bersama kebutaan hakikat syukur aku yang lalu. Betapa naifnya aku sebagai insan bernama manusia.


Masa yang akan menentukan untuk aku bangun kembali, aku percayakan pada diri aku. Xkan sekali-kali aku biarkan orang perlekehkan aku, merendah-rendahkan maruah aku, menghina martabat kecintaan aku, aku yakin pada kemampuan aku, bukan xpernah aku berjaya tanpa sesiapa disisi sebelum ini, masakan aku xmampu lakukan sekali lagi. "If you dare to dream it, you can have it!!" Akan aku buktikan kebenaran kata-kata aku ini, walaupun jalannya cukup sukar bagiku mengharunginya. Hilang sebutir permata tidak bermakna hilang segala sinarnya, akan aku bawa sedikit sinarnya yang lalu yang berbaki dalam diri aku, untuk terus aku genggam erat bagi menempuh hari-hari yang mendatang. Mengharapkan ia akan terus menjadi petunjuk dan cahaya ketabahan untuk aku bangun kembali mudah-mudahan. Pernah kilauan permata lain hadir untuk mengubat keresahan dihati ini, namun permata yang telah sebati dalam diri ini cukup sinar kilauannya, menutup segenap ruang malap dalam hati aku, tidak ada lagi ruang untuk permata yang lain bertakhta dihati ini, walaupun sinarnya tidak lagi seindah dulu, namun cahayanya cukup jelas bagi aku. Diharapkan ada cahaya rahmat yang menerangi dikala aku meniti liku-liku hari yang mendatang. Insyaallah. Assallammualaikum...

0 comments: